Buat
kesekian kalinya saya mendapat lagi sms dari Encik Budia, jawatankuasa Surau
Al-‘Abqori, Taman Universiti.
‘Salam
Ustaz. Saya Budia dr Surau Al-‘Abqori, Taman Universiti ingin menjemput ustaz
untuk menyampaikan kuliah maghrib di surau kami pada 08-Jan-12 hari Ahad. Harap
dapat jawapan dari ustaz. Syukran’
Saya
hanya mampu untuk menghela nafas yang panjang.
Ini
bukan kali pertama saya mendapat sms ini dari jawatankuasa Surau Al-‘Abqari,
sudah hampir 4-5 kali sejak dari bulan Ramadhan yang lalu, namun semua saya
menolaknya dengan baik. Sehinggakan saya memaklumkan dalam satu bulan itu saya
tidak dapat memberikan masa di hujung minggu kerana jadual yang padat. Namun
selepas sebulan tersebut mesej jemputan tiba kembali.
Anak
Murid Derhaka
Sebenarnya
di awal bulan ramadhan yang lepas, saya pernah memberi kuliah Subuh di sana.
Itupun untuk memenuhi kehendak anak usrah saya, Saifullah dan Mukrim yang
menjadi imam terawikh di sana sepanjang Ramadhan.
Saya
tiba di Surau Al-‘Abqari pagi itu ketika imam sudah pun mengangkat takbiratul
ihram. Saya mengikuti solat tersebut dengan tenang sekali. Mungkin kerana
bacaan imamnya yang lunak dan sedap telinga untuk mendengar. Seusai sahaja
solat saya cuba menjenguk-jenguk ke hadapan untuk melihat siapa kelibat yang
menjadi imam Subuh tersebut. Saya cuba amati betul-betul.
Seperti
sudah dapat mengesan. Saya hanya tunduk dan mengelengkan kepala.
‘Ini
Ustaz Asmadi, pensyarah aku, aduh..’ getus hati
saya
Habis
sahaja imam berwirid, Ustaz Asmadi bangun dan bertanya ‘Mana penceramah
kuliah subuh hari ini?’
Saya
terus bangun dan berlalu ke hadapan ke arah imam.
‘Eh,
ini anak murid saya’ Ustaz bersuara.
‘Erk
itulah ust, saya pun tak teringat Ust ada kat sini, kalau tak saya tak datang
dah,’ Saya bergurau bernada serius.
‘Kenapa
pulak, bagus la tu, ust pun nak dengar kuliah nta,’ jawab Ustaz.
‘Eh
takpe takpe ustaz, ustaz balik la dulu ke rumah ustaz, saya segan juga nak kasi
kuliah kalau ustaz ada, sungguh ni ustaz,’ Kali ini
nada yang nampak bergurau tapi penuh dengan pengharapan.
‘Kalau
macamtu ustaz lagi nak duduk di sini dengar kuliah nta,’
‘Aduh!’
Mungkin
Ustaz Asmadi dapat membaca riak muka dan keadaan saya pada ketika itu kemudian
ustaz pun berkata, ‘Takpelah kalau macamtu, ustaz pun nak kena pulang ke kampung
pagi ini dengan zaujah ustaz, lepas subuh ingat nak gerak terus, ustaz balik
dulu la ya,’
Saya
menghela nafas lega, dalam hati saya hanya terlintas, ‘Teruknya aku, anak
murid derhaka sungguh,’
Secara
hakikatnya, Ustaz Asmadi tidak pernah pun mengajar saya di dewan kuliah.
Sepanjang 3 semester saya di UKM, saya belum lagi berkesempatan untuk belajar
dengannya secara formal di kuliah. Ini kerana Ustaz Asmadi hanya mengajar
pelajar-pelajar di tahun akhir dan mungkin juga di semester 4 nanti bagi mereka
yang mengambil pengkhususan hadith. Kepakarannya
sangat masyhur dalam bidang hadith.
Cuma
perkenalan saya bersama Ustaz Asmadi lebih awal apabila saya bertanyakan beberapa permasalahan dalam Ulum
Hadith kepadanya. Ustaz akan menyapa saya kalau kami berselisih dan ustaz juga
pernah membawa saya keluar makan di luar apabila ustaz melihat saya keseorangan
di Singgahan Ilmu FPI ketika itu. Ustaz tak menunjukkan bahawa beliau hanya
seorang muallim yang benar-benar alim
bahkan juga seorang muaddib dan mursyid.
Bahkan,
nama beliau sudah saya kenal sejak tahun pertama saya di Darul Quran JAKIM lagi
apabila guru quran saya, Ustaz Hanaffi merupakan anak murid kesayangan Ustaz
Asmadi.
Selepas
ustaz pulang ke rumahnya seusai solat subuh pagi itu, saya terlintas. Saya
tersilap masuk tempat rupanya. Taman Universiti ini adalah antara kawasan
perumahan guru-guru saya. Ustaz Dr Arif Nazri, juga guru hadith saya di UKM,
Ustaz Luqman guru saya di Darul Quran, mereka juga menetap di sana. Saya
bernasib baik Dr Arif Nazri tidak ada pagi itu kerana kuliah di luar, kalau
tidak sudah pasti sudah menjadi bahan di dalam kelas bersamanya di UKM.
Sayalah
antara murid Dr Arif di kelas yang tidak pernah mengikuti kelas pengajian
hadith di rumahnya. Kawan-kawan saya semua istiqamah dalam kelas tersebut. Inikan
kalau saya pula yang memberi kuliah di depan Dr Arif di sana, lagi malu saya
dibuatnya. Hakikatnya, saya sentiasa dalam kesempitan masa pada malam Jumaat
itu untuk ke kuliahnya walau punyai keinginan, kalau tidak sudah pasti saya
juga salah seorang yang turut istiqamah
mengikuti kelas pengajiannya setiap minggu.
Takut Atau Segan
Bukan
niat saya dengan sengaja mahu menolak jemputan kuliah di sana, tetapi mungkin
atas pertimbangan saya hanya seorang murid biasa yang baru belajar. Mana
mungkin untuk saya sampaikan kuliah saya di depan guru-guru yang saya kenal
susuk peribadinya yang jauh lebih alim daripada saya.
Kalau
di Syria, guru saya pelajar master di sana mengharamkan untuk merekod isi
pengajiannya bimbang kalau terlepas pada orang lain. Katanya beliau masih lagi sedang
belajar dan kelas ini juga proses pengajian bagi beliau.
Saya
pula secara peribadi, tiada masalah untuk dikritik di atas kesalahan saya
kerana Itulah namanya proses belajar. Tetapi untuk menghadap diri di depan
tuan guru yang mulia dengan ilmu kita yang ibarat celah gigi ini memberatkan
hati saya. Mungkin itu satu kelemahan yang perlu di atasi dengan adaptasi adab.
Kalau nak minta izin dulu daripada mereka, bimbang-bimbang rajin pula mereka
untuk hadir ke sana nanti. Tidak berkuliah nanti jadinya.
Saya
hanya terfikir, alangkah baik kalau saya menyampaikan kuliah di sana, kemudian
memberikan impak yang positif kepada jemaah. Bila ditanya siapa guru saya,
pasti saya akan menaikkan nama guru-guru yang mendidik saya. Alangkah beruntungnya begitu.
Namun malangnya, kerisauan saya ialah apabila saya menyampaikan kuliah di sana
dan tidak dapat berikan apa yang terbaik, sudah pasti guru saya juga yang
terpalit nama kerana mereka mengetahui siapa guru-guru saya.
Apapun,
selepas melihat kesungguhan pihak surau yang tidak jemu menjemput saya, saya
pula yang serba salah. Saya juga tidak mahu kecewakan jawatankuasa surau buat
kesekian kalinya. Akhirnya saya tetap menerima jemputan untuk menyampaikan
kuliah maghrib ahad malam ini di sana. Sambil meletakkan pertimbangan guru-guru saya
pasti menyampaikan kuliah maghrib di luar kawasannya pada ketika itu.
Yang
penting, penyampaian saya perlu berdasarkan disiplin ilmu yang betul, bukan
sembarangan. Ditambah dengan nilai adab dan keyakinan yang tinggi saya kira
kalau siapa-siapa pun dihadapannya pasti kita tiada masalah untuk menghadapinya.
Ini menjadi satu motivasi yang cukup baik untuk saya benar-benar kuasai tasawwur setiap asas ilmu yang saya pelajari terutamanya dalam bidang hadith. Allahumma ameen.
Ini hanya sekadar
coretan perkongsian. Mungkin tidak memberi manfaat tetapi ia satu lakaran kenangan buat saya. Tangan saya, biarkanlah dia terus menulis.