Thursday, October 23, 2008

Tajuk Tesis Diterima...

Sebaik sahaja saya mendapat makluman tentang keputusan permohonan tajuk tesis telah dikeluarkan, saya terus menelefon penyelia tesis saya, Ustazah Zamzarina. Walaupun masih dalam suasana raya pada ketika itu, hati saya lebih memikirkan tajuk tesis yang telah saya cadangkan kepada Pihak Akademik.
Sebaik sahaja selesai menghubungi Ustazah Zamzarina, saya menghembuskan nafas lega kerana tajuk tesis saya telah diluluskan oleh Pihak Akademik. Alhamdulillah..

“ The Ottoman Empire : A Research On The Khalifah Islamiyyah System Decline And The Effects To The Islamic Society Nowadays ”

“ Empayar Turki Uthmaniyyah : Satu Kajian Terhadap Keruntuhan Sistem Khilafah Islamiyyah Dan Kesannya Terhadap Masyarakat Islam Masa Kini ”


Tajuk Ini Menjadi Pilihan

Semasa saya diminta untuk menghantar tajuk cadangan tesis, saya terus terfikir untuk membuat kajian di dalam bidang sejarah. Persoalan yang tinggal pada ketika itu ialah sejarah mana yang saya akan ambil untuk dijadilkan pilihan tajuk cadangan tesis.

Selepas saya berbincang dengan sahabat saya, Muiz, terlalu banyak tajuk cadangan yang menjadi pilihan. Sudah tentu kerana sahabat saya Muiz ini terlalu meminati sejarah. Barangkali saya boleh katakan bahawa Muiz ini juga menjadi pencetus inspirasi kepada saya untuk mengkaji sejarah. Saya pun menjadi pening kepala untuk membuat pilihan dengan tajuk-tajuk yang ada.

Selepas dinilai tajuk-tajuk yang ada, hati saya terdetik satu nama, TURKI. Ya, saya terlupa tentang kota bersejarah tersebut. Tiba-tiba hati saya rasa melonjak-lonjak ingin mengkaji tentang Kota Bersejarah Turki. Selepas berbincang sebaiknya dangan Muiz, akhirnya tajuk ini menjadi pilihan. Setelah mendapatkan restu ibu dan ayah, tajuk inilah yang telah dihantar kepada Pihak Akademik. Bagi saya, tajuk ini bukan hanya sekadar sejarah kosong semata-mata, tetapi sarat dengan nilai-nilai yang berguna dan bagaimana kita melihat sejarah itu sendiri memberi kesan yang mendalam terhadap persekitaran sekarang.



Kenapa Sejarah Menjadi Pilihan

Saya teringat dalam salah satu artikel Saifulislam.Com, Mengapa Sejarah Yang Ini Membosankan?, bagaimana diterangkan bahawa sejarah bukanlah hanya sekadar sejarah yang mngkaji apa yang terjadi, siapa pelakunya, dimanakah peristiwa tersebut terjadi, apa yang yang terjadi selepas daripada itu dan sebagainya tetapi sejarah sebenar adalah wadah untuk mengkaji manusia, memerhati kelakuan dan pemikiran manusia, agar kesimpulannya boleh digunakan untuk membentuk manusia.

Saya juga teringat kepada pesanan Dr Hamka kepada anaknya “Sejarah itu tidak berulang, tetapi sifat pelaku sejarah yang berulang”. Jadi sejauh mana kita bijak untuk mengambil pengajaran dari apa yang terjadi. Persoalannya adakah kita akan jatuh terjelupuk ke dalam lubang buat kali kedua? Islam sama sekali tidak mengajar kita begitu. Mungkin di atas faktor ini, mengapa saya memilih bidang sejarah dalam tesis saya pada kali ini.

Saya mendoakan kepada Allah S.W.T memberikan yang terbaik kepada hambaNya ini dalam meneruskan usaha seterusnya untuk menyiapkan tesis ini. Moga ia memberi manfaat kepada saya dan juga sahabat-sahabat dalam meniti perjuangan di atas muka bumi Allah ini.

AlFaqir Ila Allah
Muhamad Azan Safar

1 comment:

Hafizi Tajuddin said...

Assalamualaikum...
Nak tahu, saudara buat tesis untuk ijazah sarjana muda @ sarjana?
Kedua, apa bidang pengkhususan saudara?