Monday, January 2, 2012

Tahun Baru yang Baik..

Saya mengikuti perkembangan teman-teman saya yang berhimpun di UPSI pada malam tahunbaru bagi menunjukkan solidariti dalam menuntut hak terhadap Adam Adli dan juga hak kebebasan akademik.

Tidak perlu dibicarakan soal kronologi pokok pangkalnya sehingga berlaku kes berdarah semalam kerana BEBAS yang menampilkan solidariti front-front mahasiswa sudah lama berpencak dalam menuntut hak kebebasan Akademik dan pemansuhan AUKU. Tinggal lagi ialah adakah kita seorang yang cakna dalam perkara ini ataupun tidak? Kemuncaknya pada 17 Disember 2011 yang lepas apabila mereka sama-sama turun ke jalanan menyatakan pendirian yang jelas kepada rakyat dan kerajaan bahawa mahasiswa sudah tidak inginkan dunia akademik dicemari dengan tangan-tangan luar yang telah menghilangkan nilai murni akademik itu sendiri.

Bahkan, sebagai isyarat yang nyata, penurunan seketika bendera Dato’ Seri Najib Tun Razak oleh Adam Adli dan diganti dengan bendera Academic Freedom menunjukkan bahawa mahasiswa sudah tidak lagi yakin dan percaya kepada pemerintahan pentadbiran Malaysia pada hari ini yang dikuasai oleh Barisan Nasional.


Apapun, saya mengira kerajaan mahupun rakyat harus sedar apakah mesej yang ingin disampaikan oleh mahasiswa ini. Mereka berada di lapangan akademik yang sebenar dan mereka melihat bagaimana dunia akademik telah dilumuri dengan najis yang telah menghilangkan kesuciannya. Mereka bukan aktivis politik, mereka bukan penjawat awam tetapi mereka adalah mahasiswa, mereka yang berautoriti untuk menyatakan pendirian dalam lapangan mereka.


Apabila Kekuasaan Menafikan Segalanya

Kejadian malam tahun baru semalam hakikatnya telah memberi gambaran yang sangat buruk kepada pihak keselamatan negara pada hari. Belum cukup isu BERSIH 2.0 yang telah menyaksikan kegananasan mereka, sehingga saya pun menjadi salah seorang mangsa terpilih untuk menaiki trak biru mereka ke PULAPOL, kali ini mereka tampil untuk menunjukkan mereka adalah raja di Malaysia. Ya, sebenanrnya bukan imej yang buruk buat pihak keselamatan sahaja, bahkan mereka yang memegang ‘remote control’ si polis ini jauh lebih teruk keadaanya. Menafikan hak untuk bersuara dengan keganasan dan kekerasan, itu sahaja pilihan mereka. Itu cara pondan dan sangat tidak profesioanal.



Sahabat saya, Safwan Anang selaku teman saya di dalam GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS terlantar di hospital angkara kejadian semalam, ramai lagi teman-teman saya yang ditangkap dan diheret dengan kekerasan ke meja soal siasat. Ganas sangatkah mahasiswa melakukan kekecohan sehingga mereka terpaksa di perlakukan sedemikian rupa ataupun polis yang sengaja dibiarkan lapar untuk melapah musuh di malam tahun baru tersebut. Sedangkan teman-teman saya, tidaklah bertemankan senjata api, senjata tajam, mahupun senjata yang mendatangkan ancaman, mereka hanya bertemankan dengan pelekat-pelekat, kain rentang, heller, suara-suara lantang dan bersama mereka juga adalah jiwa yang besar untuk melihat perubahan baru dalam negara kita. Polis masih gagal menunjukkan professional mereka dalam melayan anak-anak buda yang beridealisme ini, kerana polis sendiri sungguh jauh dari idealismnya, intelektualnya entah ke mana, kerana mereka hanya fikir soal menjaga periuk nasi keluarganya di rumah. Barangkali itu sahaja saya fikir.

Saya tidak memukul rata polis secara keseluruhannya kerana ramai polis yang saya temui baik-baik dan hebat agamanya, ayah teman-teman saya turut ramai polis yang bagus ini, Cuma selain mereka, saya tetap lebih menyalahkan mereka yang memegang remote control pihak keselamatan ini kerana mereka sangat-sangat takut untuk berhadapan dengan kuasa idealisme dan intelektual mahasiswa sedangkan mereka mempunyai autoriti yang besar untuk menyelesaikan kes ini dengan baik. Namun si pengecut memang begitu, hujah dibalas dengan kekerasan. Tubuh sahabat saya, Safwan bukanlah besar sangat sehingga perlu untuk dilakukan sedemikian rupa, tapi apa yang ada pada Safwan ialah jiwanya yang besar sehingga menggeruni mereka yang tercabar.


Permulaan Yang Baik

Apapun, ini adalah permulaan yang baik untuk dunia mahasiswa khususnya untuk kita menyaksikan perubahan baru di tahun 2012 ini. Saya tidak teragak-agak bahawa anak-anak muda dan rakyat pasti akan menyatakan pendirian mereka sebaik sahaja mereka diberi pilihan untuk memilih dalam pihan raya umum nanti. Jangan menyesal dengan keganasan dan kelakuan yang anda lakukan sedemikian rupa kepada kami.

Saya secara jujur sangat kecewa dengan keadaan Malaysia hari ini. Dan ingat, saya juga turut bersama Safwan Anang, Adam Adli dan seluruh teman-teman mahasiswa saya yang lain pasti akan menuntut perubahan baru untuk Malaysia baru. Jangan dicabar suara dan kuasa anak muda, Arab Spring telak membuktikan kuasa mereka dan kini giliran Malaysia untuk membuktikan.

Selamat Datang Tahun 2012, Tahun Perubahan!

0 comments: